My Blog List

24 July 2013

Detox Terapi Ion Kaki: Benar Atau Penipuan



Benarkah terapi ion kaki dengan merendamkan kedua belah kaki di dalam larutan garam yang dilalukan caj elektrik dapat mengeluarkan toksik di dalam badan kita? Sehingga hari ini masih tiada bukti saintifik yang mengesahkan kaedah ini berkesan membuang toksik dari tubuh anda.


Apa yang kita dengar dari testimoni pesakit adalah berbentuk hipotesis di mana perbezaan yang dirasai setelah menjalani terapi ion mungkin dalam bentuk psikologi sahaja, tidak lebih dari itu.

Sambil mendakwa kaedah seperti ini adalah semulajadi tanpa menggunakan dadah dan tiada kesan sampingan, ia sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan terhadap tubuh anda sama ada tambah memburukkan atau memperbaiki tahap kesihatan tubuh anda. 

Sebenarnya larutan garam yang diberikan caj elektrik dengan menggunakan 2 besi elektrod positif dan negatif memang akan menukar warna larutan menjadi partikel kehitaman, hijau, coklat perang, kuning dan sebagainya dalam tempoh beberapa minit - tanpa merendamkan kaki anda di dalamnya. Ini dianggap sebagai 'bukti' kehadiran 'toksin' dari kaki anda. Sebenarnya saya telah mencuba sendiri eksperimen ini di rumah dengan menggunakan bateri kereta - terbukti 'kehadiran' toksin pelbagai warna seperti disebut di atas dalam larutan garam - tetapi tanpa perlu saya merendamkan kaki ke dalam larutan itu. Perubahan warna larutan adalah disebabkan proses pengoksidaan besi (karat) iaitu proses yang disebut elektrolisis. Bagaimana mereka boleh mendakwa itu semua datang dari kaki anda?

Jika anda masih belum yakin, boleh cuba sendiri dengan pergi ke pusat terapi ion tetapi jangan rendamkan kaki anda ke dalamnya. Pemilik pusat terapi pasti akan 'memaksa' anda meletakkan kaki anda ke dalamnya.

Dalam sebuah kajian, sampel larutan diambil untuk melihat unsur-unsur 'toksik' yang hadir di dalamnya. Penemuan mendapati tiada kesan logam berat ataupun unsur biologi dari tubuh manusia sebaliknya ia hanya datang dari logam elektrod yang digunakan.

Sakit kepala, lemah-lemah badan, masalah hati dan buah pinggang tidak boleh dirawat dengan kaedah ini atau berbagai kaedah detox seperti menggunakan pad kaki atau rawatan spa. Ramai doktor, saintis dan pakar perubatan percaya produk sebegini tidak mencuci apa-apa dari tubuh anda kecuali 'mencuci' poket anda. Jika benar, mengapa pad kaki tidak memerlukan caj elektrik untuk membuang toksin dari kaki anda?

Cara yang sebenar untuk membuang segala toksin di dalam tubuh disebabkan gaya hidup anda selama ini seperti merokok, alkohol, makanan yang tak menyihatkan dan berlemak, kandungan gula dan garam yang tinggi atau kesan-kesan sampingan dari ubat-ubatan ialah dengan melakukan perubahan gaya hidup yang positif dalam jangka masa yang panjang, bukan dalam masa yang singkat seperti merendamkan kaki atau melekatkan pad pada kaki semalaman.

Dipetik dari The Secret Medicines



No comments:

Post a Comment